Selain tujuan blog ni nak kongsikan kepada kekawan tentang perjalanan n aktiviti harian ak selaras dengan nama blog ak ni “dairi perjalananku”, ak jugak nak kongsi2 ngan kekawan semua ttg serba sedikit pengetahuan ak dlm bidang sejarah yg ak tahu ngan korg semua.
Oh ya... sebelum ak ceritakan ttg fakta sejarah kat korang, ak nak cerita sikit ttg diri ak ni. Ak study kat Universiti Kebangsaan Malaysia “My Varsity” selama 3 tahun (2009-2012), thn ni tahun terakhir (InsyaAllah) pengajian ak di UKM dalam pengkhususan Sejarah demi mendapat segulung Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian Sastera. Ttg kenapa ak mintak kos sej kat UKM ni part lain ak cerita nanti k ... J
1st sekali ak nak cerita ttg sejarah negeri ak yg tercinta Negeri Johor Darul Ta’zim. Disebabkan nak cerita ttg bidang ilmiah, ak nak gunakan bahasa formal yg semua org leh paham ... harap semua okey... have fun to read my history fact .
Pada tanggal 24 Ogos 1511, secara rasmi Kesultanan Melayu Melaka runtuh selepas Sultan Melaka terakhir, Sultan Ahmad Shah I bersama-sama ayahanda baginda Sultan Mahmud Shah I dan kaum kerabat serta para pembesar Melaka mengundurkan diri ke Muar, Johor dan Kota Melaka berjaya ditakluk oleh angkatan Portugis pimpinan Alfonso de Albuqueque. Sultan Mahmud Shah I berusaha merampas kembali Melaka hinggalah baginda mangkat di Kampar, Sumatera pada tahun 1529.
Patah tumbuh hilang berganti, putera Sultan Mahmud iaitu Raja Ali ditabal sebagai penganti baginda dengan gelaran Sultan Alauddin Riayat Shah II (1529-1564). Pada tahun 1533, Sultan Alauddin telah mendirikan ibu kota kerajaan baginda di kuala Sungai Johor dan menjadikan baginda sebagai pengasas rasmi kepada Kerajaan Johor Darul Ta’zim. Baginda juga merupakan pewaris sah kepada Kesultanan Melayu Melaka, oleh itu tanah-tanah jajahan serta naungan Kesultanan Melaka kini bernaung di bawah Johor. Kebanyakan negeri-negeri di Semenanjung Tanah Melayu bernaung di bawah Empayar Johor kecuali Kesultanan Kedah, Kesultanan Perak dan Kelantan yang diperintah oleh Kesultanan Pattani.
Empayar Johor sepanjang pemerintahannya ditadbir oleh dua buah dinasti (keluarga) iaitu Dinasti Diraja Melaka (1533-1699) dan Dinasti Bendahara Seri Maharaja (1699-1857). Sepanjang pemeritahan Dinasti Diraja Melaka, Empayar Johor-Riau ditadbir oleh sembilan orang sultan. Sepanjang pemerintahan dinasti ini, Empayar Johor diseret dalam kancah Perang Tiga Segi selama 130 tahun (1511-1641) antara Johor, Acheh dan Portugis. Zaman Sultan Ali Jalal Abdul Jalil Riayat Shah II (1571-1597) baginda berjaya mematahkan setiap serangan yang dilancarkan oleh Portugis. Zaman Sultan Alauddin Riayat Shah III (1597-1615), baginda dicatatkan dalam sejarah sebagai sultan yang suka berpoya-poya dan mengabaikan pentadbiran kerajaan. Tindakan baginda berbaik-baik dengan Portugis menyebabkan angkatan Acheh menyerang Johor, menawan baginda pada 1615 dan baginda mangkat di Acheh. Zaman Sultan Abdul Jalil Shah III (1637-1673), Empayar Johor berada dizaman keemasan dengan Pelabuhan Tanjung Pinang berkembang maju. Pada zaman baginda juga, perikatan Johor-Belanda berjaya menewaskan Portugis di Melaka pada tahun 1641. Bagaimanapun, pada zaman baginda juga, angkatan perang Jambi telah menyerang Kota Batu Sawar pada tahun 1673. Sultan Mahmud Shah II (1685-1699) merupakan pemerintah terakhir Empayar Johor daripada Dinasti Melaka. Sejarah Melayu mencatatkan baginda menaiki takhta pada usia yang muda, baginda dikatakan suka berpoya-poya dan seorang yang zalim. Baginda akhirnya mangkat dibunuh di Kota Tinggi oleh Laksamana Megat seri Rama pada tahun 1699 tanpa meningalkan waris.
Kemangkatan Sultan Mahmud Shah II tanpa meningalkan waris, jawatan Sultan Johor disandang oleh Bendahara Seri Maharaja Tun Abdul Jalil dengan gelaran Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV (1699-1718) dan mengasaskan pemerintahan Dinasti Bendahara Seri Maharaja. Sepanjang pemerintahan ini, Johor diperintah oleh 11 orang sultan. Pada zaman Sultan Abdul Jalil IV, Johor berada dalam keadaan kucar kacir dan ibukota Johor sentiasa berpindah-pindah. Pemerintahan baginda tidak mendapat sokongan daripada Orang Laut kerana baginda bukan berdarah Sultan Melaka. Perkara ini telah diambil kesempatan oleh Raja Kecil, putera raja dari Minangkabau yang mengaku dirinya putera Sultan Mahmud II telah menyerang Johor pada tahun 1718 dan mengulingkan Sultan Abdul Jalil. Raja Kecil telah ditabal sebagai Sultan Johor dengan gelaran Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah (1718-1722). Baginda mendapat sokongan daripada Orang Laut manakala mendapat tentangan daripada keluarga Bendahara. Sultan Abdul Jalil Rahmat akhirnya tewas dan melarikan diri ke Sumatera. Baginda akhirnya telah mengasaskan Kesultanan Siak Sri Inderapura. Pada zaman Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah I (1722-1760), baginda berjaya menewaskan Sultan Abdul Jalil Rahmat dengan bantuan Bugis Bersaudara. Bagi mengenang jasa Putera Bugis, baginda telah melantik Daeng Marewah sebagai Yamtuan Muda Johor pertama (1722-1728), bermula zaman kekuasaan Orang Bugis dalam pentadbiran dan perdagangan Johor. Pada zaman baginda juga, Empayar Johor yang luas dahulu mula berpecah-pecah. Negeri-Negeri Minangkabau (Negeri Sembilan sekarang) cuba membebaskan diri, misalnya pada tahun 1757, Moyang Salleh, Undang Luak Jelebu mengadap Sultan Sulaiman untuk memdapatkan kemerdekaan Luak Jelebu dan orang-orang Minangkabau dari Luak Berempat (Sungai Ujong, Jelebu, Johol dan Rembau) mengusir Yamtuan Muda Raja Kemboja dari Linggi pada tahun 1770. Pada tahun 1702, Sultan Sulaiman menabalkan bapa saudaranya, Tun Zainal Abidin Ibn. Bendahara Tun Habib Abdul Majid sebagai Sultan Terengganu pertama dengan gelaran Sultan Zainal Abidin I dan mengasaskan Kesultanan Terengganu.
Empayar Johor-Riau pada zaman Pemerintahan Sultan Mahmud Shah III (1761-1812)
Pada zaman pemerintahan Sultan Mahmud Shah III (1761-1812), Yamtuan Muda Raja Haji telah memimpin angkatan Bugis menyerang Melaka dan berperang dengan Belanda pada 1782. Bagaimanapun, serangan tersebut gagal dan Yamtuan Muda Raja Haji telah terbunuh. Pada tahun 1874, angkatan Belanda telah menyerang Riau dan menaklukinya. Secara rasmi Empayar Johor berada dibawah naungan Belanda. Baginda Sultan Mahmud III telah mengarahkan Angkatan (Lanun) Tempasuk menyerang pertahanan Belanda di Tanjung Pinang pada 1787 dan berjaya mengalahkan mereka. Belanda akhirnya mengundurkan tenteranya ke Melaka. Baginda akhirnya mengundurkan diri dan bersemayam di Daik, Lingga meninggalkan Riau kerana bimbang tindak balas Belanda. Pada 1794, Belanda mengadakan perjanjian damai dengan Sultan Mahmud III bagaimanapun, Riau dikembalikan oleh British kepada Johor pada bulan September 1795 setelah berlakunya Perang Napoleon di Eropah.
Pada zaman pemerintahan Sultan Mahmud Shah III, wilayah Empayar Johor-Riau mula berkurang dan terhad. Pada tahun 1766, Raja Lumu Ibn. Yamtuan Muda Raja Kemboja telah mengasaskan Kesultanan Selangor dan bebas daripada Empayar Johor. Pada zaman baginda juga, wilayah-wilayah Empayar Johor-Riau telah dibahagi-bahagikan dan ditadbir oleh wakil-wakil Sultan. Misalnya, Pahang ditadbir oleh Bendahara Seriwa Raja Tun Abdul Majid, tanah besar Johor dan Singapura ditadbir oleh Temenggung Tun Abdul Rahman, Kepulauan Riau ditadbir oleh Yamtuan Muda Raja Jaafar, Inderagiri sebuah wilayah istemewa dimana diperintah oleh Paduka Maulana Seri Sultan Ibrahim daripada Dinasti Nara Singa (1508-1963) yang menerima taraf naungan Sultan Johor manakala Sultan Mahmud Shah III terus memerintah Empayar Johor berpusat di Daik, Kepulauan Lingga.
Kemangkatan Sultan Mahmud Shah III pada 12 Januari 1812, membawa Empayar Johor-Riau retak menunggu belah apabila dua orang putera baginda merebut takhta hasil campurtangan pembesar Bugis iaitu Yamtuan Muda Raja Jaafar dan kuasa barat. Putera sulung baginda, Tengku Hussien yang merupakan waris sah takhta Johor diketepikan, putera bongsu, Tengku Abdul Rahman ditabal sebagai Sultan Empayar Johor dengan adat istiadat pertabalan Diraja Johor. Demi mengelakkan pepecahan Empayar Johor, pembesar Johor mengiktiraf Sultan Abdul Rahman Muaz’zam Shah I (1812-1832) sebagai Sultan Johor-Riau yang sah dengan sokongan Belanda di Riau. Kuasa Inggeris yang tiba melantik Tengku Hussien sebagai Sultan Johor-Singapura dengan gelaran Sultan Hussien Muhammad Shah (1819-1835), bagaimanapun baginda hanya boneka Inggeris dan tidak mendapat pengiktirafan Pembesar Johor.
Ketibaan Inggeris di Singapura dan Belanda yang bertapak di Riau mencampurtangan dalam masalah takhta Johor menghangatkan suasana. Tindakan Inggeris mendirikan logi perdagangan di Singapura pada tahun 1819 mendapat bantahan Belanda. Akhirnya Perjanjian London ditandatangani pada 17 Jun 1824 telah membahagikan Empayar Johor-Riau kepada 2 pengaruh iaitu Inggeris di utara Selat Singapura dan Belanda di selatan Selat Singapura. Perjanjian London ini dirahsiakan daripada pengetahuan Pembesar Johor kecuali Yamtuan Muda Raja Jaafar yang telah di beritahu oleh Van Angelbeek pada tahun 1825, dimana Yamtuan Muda Raja Jaafar telah bersetuju dengan perjanjian tersebut.
Kemangkatan Sultan Abdul Rahman I di Lingga pada tahun 1832 digantikan oleh Sultan Muhammad Shah (1832-1841) manakala Sultan Hussien digantikan oleh puteranya Sultan Ali Iskandar Shah (1840-1877), yang pada awalnya Inggeris enggan mengiktiraf baginda sebagai Sultan kerana tidak mempunyai kuasa pentadbiran. Pada zaman pemerintahan Sultan Mahmud Muzaffar Shah IV (1841-1857) merupakan Sultan Johor-Riau terakhir, tekanan Belanda amat kuat. Baginda di lihat sebagai seorang yang tegas dan cuba untuk membebaskan diri daripada cengkaman Pembesar Bugis dan Belanda. Residen Belanda beberapa kali mendesak agar baginda melantik penganti Yamtuan Muda pada tahun 1844 dan 1857 namun baginda enggan dan bertindak pergi ke Singapura. Tindakan baginda telah menyebabkan Residen Belanda memecat baginda daripada jawatan Sultan Lingga pada 23 September 1857. Setelah Sultan Mahmud IV dipecat, Residen Belanda telah melantik bapa saudara baginda sebagai Sultan Lingga iaitu Tengku Sulaiman Ibn. Almarhum Sultan Abdul Rahman I dengan gelaran Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah II. Pada 1 Disember 1857, perjanjian baru ditandatangani, Sultan Sulaiman II mengakui ketuanan Belanda dalam Kesultanan Riau-Lingga. Perjanjian yang ditandatangani ini secara rasmi Empayar Johor-Riau telah berkubur dan berpecah, Riau-Lingga-Inderagiri berada dibawah Belanda, Singapura bawah Inggeris, Johor kekal dibawah pentadbiran Temenggung Seri Maharaja manakala Pahang kekal bebas dibawah pemerintahan Bendahara Seriwa Raja.
Sultan Empayar Johor-Riau (1533-1857)
Dinasti Diraja Melaka (1533-1699)
Sultan Ala’uddin Riayat Shah II 1533-1564
Sultan Muzaffar Shah II 1564-1570
Sultan Abdul Jalil Shah I 1570-1571
Sultan Ali Jalal Abdul Jalil Riayat Shah II 1571-1597
Sultan Ala’uddin Riayat Shah III 1597-1615
Sultan Abdullah Ma’ayat Shah 1615-1637
Sultan Abdul Jalil Shah III 1637-1673
Sultan Ibrahim Shah 1673-1685
Sultan Mahmud Shah II 1685-1699
Dinasti Bendahara Seri Maharaja (1699-1857)
Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV 1699-1718
Sultan Abdul Jalil Rahmat Riayat Shah V 1718-1722
Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah I 1722-1760
Sultan Abdul Jalil Muaz’zam Shah VI 1760-1761
Sultan Ahmad Shah II 1761
Sultan Mahmud Shah III 1761-1812
Sultan Abdul Rahman Muaz’zam Shah I 1812-1832
Sultan Muhammad Shah 1832-1841
Sultan Mahmud Muzaffar Shah IV 1841-1857
Naskah Silsilah Yang diPertuan Muda Riau, disusun pada bulan Januari tahun 1855 oleh Residen Belanda T.J. WIller berdasarkan pernyataan dari Pangeran yang berkuasa, Raja Ali.
ReplyDeletehttps://www.scribd.com/document/477545647/Family-Tree-of-the-Viceroys-of-Riau-Silsilah-Yang-diPertuan-Muda-Riau-Willer-1855